Wednesday, June 19, 2013

Aku

Bila aku fikir tentang masa depan,
Aku hanya jumpa jalan buntu,
Aku hanya jumpa bilik tanpa lampu, perabot, manusia.
KOSONG.

Pelajar Kewangan.
Entah kenapa, entah macam mana,
aku nak harung semua,
sudah separuh jalan, nak berhenti,
jiwa aku kata terus, kawan aku kata terus.

Memang aku teruskan,
tapi, tanpa minat, tanpa jiwa, tanpa suka.
teruskan semata demi keluarga.

Aku cuba tanam suka,
aku cuba semai minat.
Mampu tumbuh sikit-sikit kata mereka.
Tapi terlalu sikit untuk aku teruskan langkah,
tapi aku langkah juga, perlahan-lahan.

Salah aku,
melulu.
Ah, silap aku, silap aku.

Bila fikir semula,
aku yakin ada hikmah, ada cerita di sebalik takdir aku disini,
ada sesuatu yang Allah ingin beri,
ada sesuatu yang tak mungkin aku perolehi jika aku tidak berada disini.
Pasti ada sesuatu.

Sungguh, aku suka sini,
tapi aku tak suka jadi pelajar jurusan ini.

Aku suka,
kerana manusia-manusia di sini,
aku suka,
kerana banyak benda aku belajar disini(selain subjek kewangan),
aku suka,
kerana sini sintok, berbeza dari semua.

Banyak manusia kata,
"kau salah, kau silap,
kau sepatutnya bukan disini,
kau sepatutnya ambil ini, ambil itu.
Jiwa kau bukan ini, nampak dari riak kau, tingkah kau,
itu punca kau tak bersungguh, itu punca kau lemah ".

Memang.
Betul ! Minat aku bukan ini.
Minat aku pada kamera, pada gambar, pada komputer, pada penulisan, pada seni.

Ahh, persetankan minat sementara waktu.
Aku akan teruskan.

Untuk mak & ayah, 
Sungguh, angah minta maaf awal-awal jika tidak cemerlang.
Terima kasih untuk susah dan payah. Maaf untuk tidak berjaya.
Maaf. 



Kisah Kasih.

Kalau kau kasih kerana
Harta,
Kelak harta habis,
Kasih kau entah kemana.

Kalau kau kasih kerana
Dunia,
Kelak dunia hancur,
Kasih kau lebur juga.

Kalau kau kasih kerana
DIA,
Dengan izin Dia,
Kasih kau pasti sampai
Syurga.

**kalau kau betul kasihkan dia, benarkan dia lebihkan cintanya pada Yang Esa.

Sekian. Assalamualaikum.

Friday, June 14, 2013

Dalam Gelap


Gelap. Aku pilih untuk diam. Aku pilih untuk cari punca bunyi yang boleh buat aku terus berjalan kedepan, kebelakang, atau mana-mana, asal tidak statik. Bila dalam gelap pekat, ada suara halus bisik dekat telinga, kata mahu bawa kau pada cahaya, kau kena pilih, untuk terus sesak dada dalam gelap, atau sambut tangan dia, percaya bahawa dia akan bawa pada cahaya.

Istimewa, gelap itu istimewa.
Gelap itu luarbiasa, kerana buat kita buat sesuatu yang bukan norma kita, yang bukan rutin hari-hari kita.
Dalam gelap, kadang datang yakin, datang semangat, datang spiritual untuk kuat.
Entah dari celah mana datang semua semangat, nak dicari punca, tak nampak, gelap.

Kebenaran.
Mana nak cari yang benar dalam gelap, mana nak cari yang betul dalam gelap, mana nak cari yang baik dalam gelap ? Kerana kita, sering dengar, gelap itu jahat, gelap itu salah. Ahh, negatif semua. Tapi, mohon buka minda, dalam setiap keadaan, tak kira gelap, kelam, cerah, terang, suram, seram, pasti ada benar, pasti ada baik. 

**Tidur dalam gelap itu bagus, tapi jangan lepas subuh, sekian, Assalamualaikum, Selamat Pagi. Salam Jumaat.

Wednesday, April 24, 2013

JAWAPAN..

aku letak tanda soal di setiap kenyataan berkisar kau.
aku kagum. ya, kagum dengan kebolehan kau.

setiap naskhah yang kau karang.
buat aku fikir panjang.
kau bijak menerokai seluruh pelusuk. seluruh sosok.
itu buat cerita kau hampir sempurna.
itu juga buat aku laju meratah setiap helaian.
setiap nokhtah, setiap koma, seru dan tanda tanya.
kagum.

persoalan merewang dibenak ini.
aku mohon kau selesai.
guna apa saja rumus, ikut suka.
janji ada. jawapan.

ceruk mana kau korek idea?
celah mana kau belajar tatabahasa?
cuba cerita. cuba.

ada lagi. belum habis.
alunan karya kau itu ambil dari mana?
mengapa lunak benar melodinya?
buat aku terbuai sama.
ahh, ternoda.  

bertimbun ingin aku persoal.
barangkali bukan tika ini.
lain kali. kalau belum mati.
semoga berjumpa lagi.
diruangan ini. 
nanti.

Monday, April 22, 2013

April, Dua Puluh Dua

Assalamualaikum,

Berkira-kira aku sebelum masuk keruangan ini.
Kerana tiada idea, tiada rasa teruja.
Sudah agak lama tidak menulis.

Sebab utama : Idea mati, sudah siap dikubur.

Namun, sebab utama itu buat halaman kosong ini terisi. Tidak lagi putih suci.

Dalam tiada idea, masih juga mampu menulis sampai baris ini. Namun, sia-sia. Mahu digali kembali kuburan, takut, sudah hampir jam 2 pagi. Mungkin esok, mungkin lusa, mungkin bila-bila, itu pun kalau masih ada nyawa.

Sebab seterusnya : Kekurangan masa. Masa itu emas, jadi mereka curi. 

Ragam biasa manusia normal. Sering beri alasan masa, walau semua manusia diberi masa sama. Masih juga ada manusia tidak malu guna alasan basi lagi keji. Aku, suka guna. Menyedihkan. Memalukan. Ahh, persetan. (Nampak disitu, keras kepala aku, tidak ambil kira pandangan orang. TERUK. PARAH. )

Sekian. Assalamualaikum. Selamat Pagi. Selamat Mengundi. 

Thursday, April 4, 2013

Pada Hati & Pemilik Hati.

Engkau curi hati. sembunyi-sembunyi.
Engkau bikin aku mati. langkah aku, nafas aku.

Pulangkan.
Yang bukan hak engkau. Yang bukan punya engkau.
Kembalikan.
Hati merah aku. Satu-satunya punya aku.

Kenapa hati yang kau curi.
Sedang banyak anggota lain. 
Apa ada pada hati?

Hati itu. Kalau kau nak curi.
Mohon ikut situasi.
Kalau hati sudah dirantai seekor makhluk. 
tapi bukan engkau.
Jangan ikut suka hati curi.

Silap-silap kau yang mati.
Punah harapan. Pada hati & pemilik hati.

Aku. Pada beberapa ketika.

sudah banyak ketika, 
aku humban diri aku dalam bahaya.
sudah banyak ketika, 
aku campak diri aku dalam bencana.
sudah banyak ketika, 
aku tenggelam dalam duka.

dalam setiap ketika itu.
aku terus parah.
aku terus tersungkur.
aku terus lemas.

aku cipta sendiri lembah.
aku cipta sendiri onak.
aku cipta sendiri. semua.

ketika ini.
aku masih mampu bangun.
aku masih mampu berdiri.

di ketika yang lain.
aku juga harap aku masih mampu.
mampu untuk bangun, berdiri dan berlari.